Kepentingan Penggunaan Bahasa

Assalamu ‘alaikum warahmatullah.

Dewasa ini, penggunaan bahasa yang baik dalam bidang penulisan amat kurang diambil perhatian. Hal ini bukanlah disebabkan oleh tahap ilmu seseorang itu, iaitu tidak tahu begaimana menulis sesuatu perkara dengan penggunaan bahasa yang betul. Sudah memadai seseorang itu untuk menggunakan penggunaan bahasa yang betul seandainya sudah melepasi UPSR (Ujian Penilaian Sekolah rendah). Hal ini kerana penggunaan bahasa yang betul itu bukanlah semestinya dengan melontarkan kata-kata atau bicara dengan puisi dan bahasa-bahasa yang indah dan jarang didengar, tetapi cukup sekadar menulis dengan menggunakan hukum penulisan dengan betul. Penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan huruf besar atau huruf kecil di tempat yang sewajarnya, dan pelbagai lagi yang perlu diambil kira. Hal ini telah diterapkan dengan baik semasa seseorang itu berada di bangku sekolah rendah lagi, tanpa ragu hal ini tiada bantahan. Namun, seandainya seseorang itu benar-benar tidak mampu untuk menggunakan penggunaan bahasa dengan baik, atas sebab kekurangan ilmunya tentang itu, maka boleh bertanyakan kepada sesiapa yang tahu. Perkara ini bukanlah tugas seorang, namun semua pihak, termasuk ibu bapa, maka jika ada dalam kalangan anak-anak yang belum tahu bagaimana hendak menulis dengan penggunaan bahasa yang betul, waktu itulah sesiapa sahaja yang tahu perlu bertindak. Penggunaan bahasa yang betul itu bukanlah hanya tertumpu kepada Bahasa Melayu, tetapi semua bahasa yang ada di dunia ini.

Kesan Penggunaan Bahasa Yang Kurang Tepat

Kesukaran menterjemah

Pada zaman ini, terdapat jutaan blog-blog atau laman sesawang di dalam dunia maya, iaitu internet. Namun, dalam jutaan jumlahnya itu, berapa banyakkah penulisan-penulisan yang menggunakan penggunaan bahasa dengan batul?

Blog atau laman sesawang yang terdapat di internet merupakan sesuatu perkara yang meluas jaringannya, iaitu seluruh dunia. Pelbagai mesej dan berita yang disampaikan di dalam penulisan-penulisan mereka yang mempunyai blog, laman sesawang, rangkaian sosial, dan pelbagai lagi. Namun persoalannya, walaupun mesej-mesej yang ingin disampaikan itu bermotifkan kebaikan, adakah ia sampai kepada seluruh manusia yang membacanya? Adakah ia akan kekal malar hijau (evergreen) sehingga akhir dunia ini?

Ketahuilah bahawa bahasa tahap rendah (seperti Bahasa Pasar) yang selalu digunakan (dalam penulisan khususnya) pada zaman sekarang ini merupakan bahasa yang tidak boleh dibaca atau dikesan oleh mana-mana kamus. Jika seseorang itu berkata kepada seseorang yang baru sahaja belajar Bahasa Melayu dalam hidupnya dengan menggunakan bahasa tahap rendah, atau lebih dikenali sebagai Bahasa Pasar, adakah seseorang yang baru belajar itu akan faham?

Contoh penggunaan bahasa yang kurang tepat:

Cane kamu datang sini?

Asal kamu kat sini?

Dengan penggunaan bahasa seperti centoh yang diberikan berikut, adakah orang yang baru belajar atau baru kenal Bahasa Melayu akan memahami maksud pertanyaan sedemikian? Sedangkan apa yang dipelajari dalam belajar Bahasa Melayu itu adalah bahasa yang formal, iaitu Bahasa Melayu Tinggi. Sepatutnya bahasa yang digunakan dalam pertanyaan itu haruslah dengan menggunakan bahasa yang formal.

Contoh pembetulan:

Bagaimana kamu datang ke sini?

Kenapa kamu berada di sini?

Hal ini juga sama seperti dalam hal penulisan, sesorang yang baru belajar Bahasa Melayu sebagai contoh, akan menghadapi kesukaran untuk memahami maksud perkataan yang tidak pernah didengarinya dalam pembelajarannya. Apa yang merugikan lagi, mesej-mesej yang disampaikan oleh penulis tidak akan sampai kepada pembaca, sedangkan mesej yang ingin disampaikan itu sangat baik (da’wah Islam contohnya). Boleh sahaja kepada sesiapa yang benar-benar hendak mengetahui akan maksud perkataan yang dia tidak tahu itu dengan menggunakan kamus, namun adakah perkataan-perkataan yang digunakan dalam Bahasa Pasar itu terkandung di dalam kamus?

Melumpuhkan keyakinan diri

Amat mengejutkan lagi apabila kesan besar kepada penggunaan bahasa yang kurang memuaskan ini berlarutan dalam aktiviti seharian kita, khususnya dalam penulisan. Hal ini kerana penggunaan bahasa yang lemah dalam penulisan secara berterusan akan membawa kesan yang negatif kepada pemikiran seseorang itu. Penggunaan bahasa yang lemah akan menjejaskan keyakinan diri seseorang itu khususnya apabila ingin berbicara dengan lisan, bertambah teruk lagi jika sedang berhadapan dengan khalayak umum. Hal ini berpunca daripada amalan penggunaan bahasa yang lemah yang berterusan dalam kehidupan harian seseorang itu.

Sesungguhnya, semua pihak telah mengakui bahawa untuk berucap atau bercakap dalam sesebuah majlis, khususnya majlis yang formal, haruslah berucap atau berkata-kata dengan menggunakan bahasa yang formal juga. Masalah akan pasti timbul seandainy pada waktu berucap itu, minda seseorang itu baru berganjak untuk memikirkan bagaimana untuk menggunakan bahasa yang formal, sedangkan selama ini, penggunaan bahasa yang lemah sahaja digunakan dalam kehidupan seharian. Maka akan timbul masalah tidak ada keyakinan dalam berucap atau berkata-kata di hadapan khalayak ramai. Seandainya penggunaan bahasa yang betul telah lama digunakan, khususnya dalam penulisan,  maka tidak akan ada peristiwa, iaitu baru hendak berfikir apa perkataan yang sesuai untuk digantikan dengan nak (hendak/mahu), tak (tidak), macam mana (bagaimana), nape (bagaimana), dan banyak lagi perkataan ketika sedang berucap.

Di manakah peluang untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t. dan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. seandainya untuk berucap di hadapan khalayak,  seseorang itu tidak mampu, hanya berpunca daripada masalah bahasanya? Tidak dinafikan jika seseorang yang berilmu itu mampu berkongsi segala ilmunya kepada orang ramai, tetapi mampukah dirinya untuk berucap di khalayak mahupun dirinya penuh ilmu di dada? Ketahuilah bahawa ia berpunca dengan penggunaan bahasa. Boleh sahaja meneruskan segala aktiviti dengan menggunakan bahasa yang selalu digunakan oleh seseorang itu, iaitu Bahasa Pasar, namun adakah ia bersifat umum? Hal ini kerana hanya orang yang sezaman dan sebangsa dengannya sahaja yang akan memahami bahasa bicaranya, sedangkan bagaimana pula dengan bangsa lain? Atau orang asing? Adakah mereka faham? Seandainya segala ceramah yang disampaikan oleh seseorang yang menggunakan bahasa tahap rendah seperti Bahasa Pasar pada zamannya dirakam, adakah generasi akan datang mampu memahami dan mendapat mesej yang ingin disampaikan dalam audio yang dirakam itu? Sesungguhnya, akan ada bahasa-bahasa yang baharu atau perkataan-perkataan yang baharu dicipta oleh masyarakat, dan bahasa itu bukanlah yang kekal, tetapi akan sentiasa berubah-ubah. Buktinya, adakah generasi dahulu seperti nenek, datuk, dan moyang seseorang itu faham akan maksud poyo (berlagak), terkezut (terkejut), bapak (kata penguat seperti “sangat”) dan lain-lain lagi?

Ikutan buruk kepada pelajar yang ingin tahu.

Siapakah yang akan belajar? Siapakah yang akan mengajar? Sudah pasti yang belajar itu adalah seseorang yang mahu mengetahui apa yang tidak diketahuinya, atau mahu memastikan apa yang sudah diketahuinya. Seseorang yang mengajar itu pula semestinya yang telah bertindak untuk menjadikan dirinya sebagai ikutan atas segala apa yang dilakukannya. Ketahuilah bahawa apa yang dilakukan oleh setiap manusia itu merupakan suatu ajarannya kepada orang lain yang berada di sekelilingnya. Jika seseorang itu melakukan sesuatu yang buruk, ketahuilah tanpa disedari bahawa dirinya telah mengajar orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Begitu juga sebaliknya, sekiranya perkara yang dilakukan itu perkara yang baik, maka ia juga sebenarnya telah mengajar kebaikan tanpa disedari. Hal ini telah disaksikan oleh semua manusia yang beriman bahawa da’wah (ajakan) yang paling baik itu ialah menunjukkan teladan, tidak kira da’wah ke arah keburukan atau kebaikan, ia terpulang kepada individu. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. itu mulia akhlaknya, sehingga ramai kaum kafir memeluk Islam hanya dengan memerhatikan akhlak Baginda s.a.w.. Maka  hal ini sama sepeti apa yang cuba dibincangkan sekarang, iaitu sendainya seseorang itu melakukan sesuatu perkara walaupun tanpa mengetahui baik buruknya terlebih dahulu, ia pasti ada pengikutnya.

Sebagai contoh, seseorang yang menulis di dalam blognya dengan menggunakan bahasa tahap rendah, maka pasti setiap pembacanya akan berada dalam lingkungan fikiran “minda bahasa tahap rendah”. Ini akan menyebabkan kemerosotan minda dan kebantutan dalam menambah baik bahasa yang dipelajari, malah hal ini mampu merosakkan. Bertambah malang lagi seandainya seseorang yang baru belajar, seperti seseorang yang masih berada di peringkat pendidikan rendah, mereka akan mudah terpengaruh dengan semua penggunaan bahasa sedemikian. Hal ini akan menyebabkan mereka mengikut gaya bahasa atau penggunaan bahasa sama seperti yang digunakan di dalam bahan bacaan mereka. Alangkah buruknya nasib seseorang itu jika terus menerus menggunakan bahasa yang mampu melemahkan dan mambantutkan keyakinan diri dan percambahan ilmu orang yang sedang ingin belajar? Seandainya perkara ini dibawa kepada peperiksaan atau penilaian pendidikan sekolah mereka, maka apakah hasil yang mereka peroleh? Adakah dengan penggunaan bahasa yang lemah yang mereka teladani daripada bahan bacaan yang mereka baca itu akan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan akedemik? Ketahuilah bahawa ia bersangkut paut tentang soal masa hadapan seseorang. Hanya kerana tindakan kita yang tidak mahu menggunakan penggunaan bahasa dengan betul, maka orang lain menjadi mangsa?

Salah tafsiran berlaku

Dalam Bahasa Arab, tidak mudah untuk seseorang itu untuk mentafsirkan sesuatu perkataan dengan sesuka hati, tanpa ilmu yang sewajarnya difahami, maka perkara “salah tafsir” akan sesuatu perkataan itu boleh sahaja berlaku, bertambah malang apabila ia mengakibatkan kesalahan dalam mentafsirkan sesuatu yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Dalam Bahasa Melayu khususnya, penggunaan tatabahasa yang betul sangat memainkan peranan yang sangat penting. Di samping itu, peranan huruf besar dan huruf kecil juga sangat memainkan peranan yang besar dalam kita mantafsirkan sesuatu maksud perkataan.

Sebagai contoh.

di Pulau Penyu –  perkataan “Pulau” membawa maksud sebuah nama tempat, kerana ia merupakan Kata Nama Khas. Namun, apabila  perkataan “Pulau” ditulis dengan menggunakan huruf kecil di permulaan huruf, maka ia telah menjadi Kata Nama Am, yang akan membawa maksud, pulau  kepada makhluk yang bernama Penyu (jika dikekalkan huruf besar di permulaan huruf untuk perkataan “penyu”. Namun apabila kedua-duanya dimulakan dengan huruf kecil, maka ia akan membawa maksud, pulau yang didiami oleh haiwan jenis penyu.

Dipulau oleh Kaum Quraisy – Perkataan “dipulau” membawa maksud suatu perbuatan yang mengendahkan atau tidak memperdulikan. Ia merupakan satu perkataan yang dikategorikan dalam Kata Kerja kerana ia ditulis dengan menggunakan huruf kecil di permulaan huruf perkataan itu dalam pertengahan ayat. Ia juga terbukti diklasifikasikan sebagai kata kerja kerana imbuhan “di” disambung atau dirapatkan dengan perkataan “pulau”. Seandainya imbuhan “di” dijarakkan daripada perkataan “pulau”, maka perkataan “pulau” itu sudah merujuk kepada sebuah tempat (ia merupakan kata nama am sekiranya tidak dimulakan dengan huruf besar)

Contoh berikut merupakan sedikit contoh asas yang perlu diambil perhatian. Walaupun hanya sedikit, namun jika pengunaan bahasa yang betul tidak diambil berat dan hanya dipandang ringan, maka pasti fitnah boleh berlaku kerana pelbagai tafsiran boleh dibuat jika penggunaan bahasanya salah.

Hal ini akan merumitkan lagi keadaan, apa yang kita hendak sampaikan boleh dipersoalkan seandainya terdapat kesalahan dalam penggunaan bahasa. Sesungguhnya hal ini juga mampu merosakkan sesuatu perkara seperti hal rumah tangga, iaitu hal penceraian. Kesalahan penggunaan bahasa sebenarnya mampu untuk dipersoalkan kerana setiap apa yang dikatakan itu membawa maksud yang tertentu mengikut hukum tatabahasa yang telah ditetapkan dan dipersetujui. Inilah fitnah yang boleh berlaku dalam permasalahan penggunaan bahasa yang kurang tepat.

Kesan Penggunaan bahasa Dengan Baik

- Mudah difahami oleh apa juga bangsa di dunia ini, kerana dapat dirujuk dengan menggunakan kamus.

- Mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca juga sampai walau siapa pembacanya.

- Meningkatkan keyakinan diri (pengamalan melalui penulisan, pertuturan, dan sebagainya)

- salah faham dapat dibetulkan, boleh dirujuk dengan sumber yang benar.

- segala apa yang dipertikaikan boleh diselesaikan dengan mudah.

Kesimpulan.

Siapa berani berkata bahawa isu penggunaan bahasa ini merupakan bukan isu umat Islam? Mampukah umat Islam berdakwah tanpa menggunakan bahasa yang betul? Mampukah umat Islam berda’wah dengan keyakinan yang sangat rendah ketika berhadapan dengan khalayak ramai? Mampukah umat Islam berdiri megah seandainya lidahnya kelu untuk berbicara?

Membicarakan permasalahan umat bukanlah bermula daripada perkara yang berkaitan dengan pemerintahan, politik, dan permasalahan perbezaan pendapat den sebagainya. Sewajarnya permasalahan umat Islam itu mestilah dibincangkan bermula daripada “akar” ataupun asas sesuatu perkara yang mendirikan segala impian yang mahu dicapai oleh umat Islam. Apakah perkara dasar ataupun asas itu? Soal aqidah, adab, amanah. Inilah perkara asas yang harus kita tekankan kepada setiap individu muslim. Yakin bahawa tiada tuhan selain Allah s.w.t. dan tiada apa yang sekufu dengannya. Yakin bahawa Rasulullah s.a.w. itu pesuruhnya yang terakhir dan yakin bahawa ajaran yang disampaikannya itu sahaja yang akan diterima oleh Allah s.w.t. Harus ditegaskan bahawa setiap umat Islam itu haruslah mempunyai hati yang bersih dalam menuntut ilmu, yakni ikhlas demi mencapai kecemerlangan di dunia hinggalah ke akhirat. Baradab dalam setiap perkara, khususnya kepada Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w. dan kerabat baginda, dan semua makhluk Allah s.w.t.. Amanah menjadi punca ketakutan kita kepada azab Allah s.w.t., kerana jika kita tidak menitik beratkan soal amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t., musibah pasti berlaku dengan ketentuanNya.

Ketahuilah bahawa setiap perbuatan yang baik itu pasti akan diberi ganjaran yang berbentuk pahala di akhirat kelak, manakala setiap perbuatan buruk pula diberikan balasan yang berbentuk dosa. Maka apabila menyentuh soal penggunaan bahasa, ia sangat berkait rapat dengan perkara “melakukan kebaikan” dan “melakukan keburukan” tanpa disedari atau mahupun disedari. Menjaga penggunaan bahasa dengan baik merupakan suatu kebaikan kepada sesiapa yang mahu mengamalkannya, maka ganjaran pasti akan diperoleh. Kepada sesiapa yang masih berada dalam golongan “melakukan perkara yang sama, tanpa perubahan ke arah yang lebih baik sedangkan sudah mengetahui”, maka tiada siapa yang dapat membantunya kecuali dirinya sediri dengan ketentuan Allah s.w.t..

Beradab dalam setiap perkara meliputi semua aspek termasuk dalam hal penjagaan bahasa, apatah lagi setelah mengetahui bahawa perkara ini sangat penting untuk diambil berat. Seorang pendidik seharusnya beradab dengan setiap perkara, begitu juga dengan seseorang yang belajar. Dalam berbahasa, haruslah beradab, bagaimana? Beradab dengan bahasa itu mestilah mematuhi hukum yang ditetapkan dan dipersetujui dalam sesuatu bahasa, iaitu penggunaan bahasa yang betul, tatabahasa yang betul, dan banyak lagi aspek yang perlu diambil kira. Seseorang pelajar haruslah beradab dengan gurunya, maka dalam hal ini, seharusnya apa yang telah diajar oleh guru haruslah diamalkan seandainya ia benar mambawa kebaikan bersama. Alangkah sedihnya seseorang guru yang bertahun-tahun mencurahkan ilmunya kepada muridnya, tetapi muridnya itu tidak pernah mengamalkan apa yang sepatutnya diamalkan, seperti hal yang telah dibincangkan, iaitu menggunakan penggunaan bahasa yang kurang tepat. Harus diingat, setiap ilmu yang dituntut di dunia ini haruslah ditimba hanya kerana Allah s.w.t., iaitu demi kebaikan umat Islam dan maruah agama Islam. Tidaklah wajar seandainya menuntut ilmu itu bertujuan untuk menjawab soalan yang bakal terkandung dalam peperiksaan. Seandainya begitu, sudah pasti seseorang itu mendapat pengajaran, ilmunya tidak sampai kepada sesiapa, tetapi hanya sampai kepada kertas peperiksaan, kemudian hilang begitu sahaja dengan ketentuan Allah s.w.t..

Persoalan amanah juga sangat penting dalam membicarakan hal ini, setiap perkara yang kita miliki itu merupakan suatu amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada hambaNya. Amanah yang diberikan haruslah dilaksanakan keperluannya mengikut keperluan yang bersandarkan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Maka apakah ajaran yang bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah? Melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan menjauhi (jangan mendekatinya apatah lagi melakukannya) segala laranganNya. Maka dalam hal yang telah dibincangkan ini, bagaimanakah ia boleh dianggap sebagai amanah? Seseorang yang mempunyai ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. haruslah menggunakan ilmunya itu dengan sebaiknya. Dalam menjaga penggunaan bahasa, setelah dibincangkan, ia benar boleh mambawa mudarat jika tidak diambil berat, dan ia benar membawa kebaikan jika dijaga dengan baik. Maka dalam persoalan amanah, hal ini seharusnya diambil berat, iaitu penjagaan bahasa dengan baik harus diterapkan dalam diri dan orang sekeliling mengikut kemampuan. Seandainya perbuatan dan tindakan kita telah menyebabkan pihak lain menerima kemudaratan, maka adakah kita tidak terhindar daripada kesan buruknya sama ada di dunia dan akhirat?

Sesungguhnya kefahaman itu tidak akan diproleh melalui pembacaan, penulisan, dan apa sahaja cara, kerana pemahaman itu datangnya daripada Allah s.w.t., Allah s.w.t. yang mempunyai kuasa yang mutlak dalam memberi kefahaman kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Oleh itu, haruslah kita mencari jalan bagaimana untuk berusaha memperoleh kurniaan kefahaman daripada Allah s.w.t..

Allahu ‘alam, wassalam.

About these ads

13 Comments

  1. adi muhammad said,

    January 6, 2010 at 2:48 pm

    akhi! terdapat perkataan contoh (ditulis centoh) yang di salah eja!!
    boleh jadi guru bahasa melayu ni.. (^^)

    *tersalah eja
    *Bahasa Melayu

  2. January 14, 2010 at 6:25 pm

    apa beza penggunaan adalah dengan ialah?

    • adi muhammad said,

      January 17, 2010 at 12:04 pm

      selepas perkataan adalah: kata sendi nama
      selepas perkataan ialah: kata nama am atau khas

      contoh:-
      boleh tanya tuan punya blog..hehe

  3. January 25, 2010 at 1:32 pm

    Bagus, Akhi lebih cakna bhasa dr Munsyi Dewan. salam ukhwah.

  4. leenoh said,

    February 12, 2010 at 12:17 am

    Salam saudara.

    Mauduk yang sangat bermanfaat, suatu peringatan ke arah menjaga maruah bangsa dan bahasa.
    Saya sentiasa menjaganya semasa menuslis tetapi kelemahan saya menguasai bahasa Melayu tetap akan mencacatkannya juga.
    Kecuali, apabila saya mengajak pembaca berbahasa pasar atau bahasa daerah barulah di sana saya tidak mengambil berat perkara tersebut.

    “Bahasa jiwa bangsa”

  5. farha s said,

    October 7, 2010 at 7:04 pm

    salam,

    pengisian yang mantap. tetapi, elakkan tulis “entry” yang panjang. penat orang nak baca. =)

    • October 8, 2010 at 1:01 pm

      Generasi anda memang berpendapat begitu barangkali. Generasi saya lain. (padanlah~)

      • Alin said,

        October 20, 2011 at 8:53 am

        T kasih atas pengisian anda ini… amat membantu saya dalam memikirkan kesalahan bahasa yang sering terjadi… (^__^)

  6. eyma said,

    October 27, 2011 at 2:20 am

    salam…
    boleh bagi pendapat tak,apa kelemahan penggunaan bahasa melayu di kalangan guru & juga murid?
    terima kasih..

  7. Kasturi Nusi said,

    November 14, 2011 at 9:58 am

    saya mohon share ya…

  8. January 13, 2012 at 12:42 pm

    asslm, beri pendapat mengenai ” bahasa dipelajari secara sedar”. sekian trima kasih.

  9. sunday canberra said,

    June 21, 2012 at 8:17 am

    Bahasa jiwa bangsa!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: